Saturday, May 23, 2009

Bicara Tentang Dajjal

Pada suatu pagi Rasullullah berbincang dengan para sahabatnya mengenai Dajjal, kadang kala beliau meninggikan suaranya dan kadang kala merendahkan suaranya, sehingga kami merasa seolah-olah kami berada di dalam kelompok lebah.Petang hari kami yang mendengar cerita Rasullullah pergi ke rumah Rasullullah, beliau telah tahu tentang soalan kami. Tanya Rasullullah; “Apa khabar kamu semua”, jawab kami “Baik”, tapi kami hendak bertanya mengenai Dajjal, dan mengapa apabila Rasullullah berbicara, kadang kala suara Rasullullah tinggi dan kadang kala rendah ?.

Jawab Rasullullah; “Bukan dajjal yang mengkhutirkanku terhadap kamu semua, jika dia muncul dan aku masih berada di antara kamu tentu aku akan membela kamu terhadapnya. Dan jika dia muncul, sedangkan aku tidak berada di samping kamu, maka umat manusia akan menjadi pembela atas dirinya sendiri, dan Allah Taala pengantiku menjadi pembela atas setiap orang muslim”. Dajjal pemuda berambut kerinting, matanya sepet, aku lebih suka mengatakannya serupa dengan Abdul Uzza bin Qathan. Barang siapa di antara kamu bertemu dengannya, hendaklah dibacakan padanya permulaan surah Al-Kahfi.

Dia akan muncul di suatu tempat sunyi antara Syam dan Iraq. Lalu dia akan merusak ke kanan dan ke kiri. Wahai hamba Allah kerana itu teguhkan pendirian kamu!. Tanya kami; “Berapa lamakah Dajjal akan tinggal di bumi ?”, jawab Rasullullah : “Selama empat puluh hari, satu hari sama seperti setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti sepekan dan selebihnya seperti hari-hari kamu sekarang”. Tanya kami; “Ya Rasullullah, ketika sehari seperti setahun, cukupkah kalau kami solat seperti solat sekarang ?”, jawab Rasullullah; “Tidak” tetapi hitunglah bagaimana pantasnya.

Berapakah kecepatannya di bumi ?” jawab Rasullullah; Seperti hujan ditiup angin. Dia mendatangi suatu, maka diajaknya kaum itu supaya beriman kepadanya, lalu mereka beriman kepadanya dan mematuhi segala perintahnya. Di perintahkan langit supaya hujan, maka turunlah hujan. Maka diperintahkan bumi supaya subur, maka suburlah tumbuhan-tumbuhan. Bila hari sudah petang, ternakan mereka akan pulang ke kandang dalam keadaan lebih gemuk dan dengan susu yang lebih besar kerana cukup makan.

Kemudian didatangi kaum yang lain dan diajaknya supaya mereka beriman kepadanya tetapi mereka menolak ajarannya, maka dia berlalu dari mereka. Besok pagi negeri mereka menjadi kering kontang dan habis semua kekayaan mereka. Kemudian katanya; “Keluarkan perbendaharaanmu!” maka keluarlah seluruh kekayaan negeri itu dan pergi mengikuti Dajjal seperti pemimpin lebah diikuti rakyatnya. Kemudian dipanggilnya seoarang pemuda remaja lalu dibelah dengan pedangnya sehingga anak muda itu terbelah dua dan belahannya itu di lempar sejauh anak panah dipanahkan.

Dajjal memanggil tubuh yang terbelah itu kembali, dia datang seutuhnya dan dengan wajah yang berseri-seri sambil ketawa. Sementara Dajjal asyik dengan perbuatannya yang merosak, maka Allah Taala menurunkan Nabi Isa Al-Masih Ibnu Maryam. Dia diturunkan Allah dekat menara Putih sebelah timur Damsyik dengan memakai dua pakaian berwarna, berpegang pada dua sayap malaikat. Apabila dia menundukkan kepala hujan akan turun, dan apabila dia mengangkat kepala, berjatuhan daripadanya biji-bijik perak bagaikan mutiara.

Orang kafir tidak boleh mencium bau nafasnya, sesiapa yang kena bau nafasnya akan terus mati. Bau nafasnya boleh dirasa sejauh mata memandang, maka Nabi Isa a.s. akan mencari Dajjal. Dan Isa bertemu Dajjal di pintu gerbang kota lid (sebuah kota dekat Baitul Maqdis), lalu dibunuhnya Dajjal tersebut. Kemudian Isa menghampiri kaum yang dipelihara Allah dari kejahatan Dajjal. Maka diusapnya mereka dan dikhabarkan kepada mereka kedudukannya di syurga. Allah mewahyukan kepada Isa a.s.

“Aku akan mengelurkan hamba-hambaku yang tidak terkalah oleh sesiapa pun, kerana itu selamatkanlah hamba-hambaku yang soleh ke bukit”, lalu Allah Taala mengeluarkan Ya’juj dan Ma’juj. Mereka turun melanda dari tempat tinggi. Gelombang pertama melewati telaga Thiber, lalu mereka minum habis telaga tersebut. Kemudian datang pula satu kumpulan yang lain, kata mereka; “Sesungguhnya dahulu ada air di sini”. Nabi Isa dan para sahabatnya terkepung, sehingga sebuah kepala sapi lebih berharga bagi mereka dari seratus dinar bagi seorang kamu pada hari ini (kerana kekurangan makanan).

Maka nabi Isa a.s. dan pengikutnya memohon kepada Allah s.w.t semoga Allah Taala menghancurkan Ya’juj dan Ma’juj. Maka Allah s.w.t mengirimkan kepada mereka penyakit hidung seperti ada haiwan-haiwan sehingga mereka mati semuanya. Kemudian Nabi Isa dan para sahabatnya turun ke bumi. Tetapi tidak sejengkal tanah pun di dapati melainkan penuh dengan bangkai-bangkai busuk. Nabi Isa dan para sahabatnya mendoa kepada Allah s.w.t semoga sudi menghilangkan bangkai-bangkai yang busuk itu.

Maka Allah s.w.t mengirimkan burung-burung sebesar unta lalu di angkut bangkai-bangkai tersebut dan dilemparkan ke tempat yang diperintahkan Allah s.w.t. Kemudian Allah menurunkan hujan, sehingga walaupun rumah-rumah tanah liat dan rumah-rumah bulu dibersihkannya. Sehingga bumi kelihatan seperti kaca, kemudian Allah perintahkan kepada Bumi; “Tumbuhkan tumbuhan-tumbuhan dan kembali keberkatan mu!” Ketika itu sekumpulan keluarga, kenyang memakan sebuah delima dan mereka dapat berteduh di bawah kulitnya.

Rezeki mereka sangat berkah, sehingga susu unta cukup untuk orang sekampung, susu sesekor sapi cukup untuk orang satu kabilah, susu seekor kambing cukup untuk sekeluarga terdekat. Ketika itu mereka berada dalam keredaan Allah Taala. Tiba-tiba Allah mengirimkan angin yang baik memasuki ketiak mereka, maka tercabutlah roh setiap mukmin dan orang muslim.

Maka tinggal orang-orang jahat belaka, mereka bercampur baur seperti kaldai, maka dengan itu terjadilah hari kiamat.

" (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan, dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, lalu menjadilah ia debu yang bertebaran."
(Al-Waqiah ayat 4-6 )

p/s : Artikel dipetik dari buku "Himpunan Cerita-cerita Wanita Dan Laki-Laki Dalam Al-Quran Dan Hadis.

Maksiat Di Depan Mata, Dimanakah Kita?

Hari ini, ketika ini, dan saat ini, ketika kemungkaran dan maksiat menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan ummat yang kita sayang, DIMANAKAH KITA?

Dimanakah kita yang mengatakan bahawa kita meletakkan

  • Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan,
  • Rasulullah sebagai model ikutan,
  • Allah sebagai tujuan dan
  • Jihad fi sabilillah sebagai penamat kehidupan??


Amatlah jelik sekali pada masa ini ketika ummat yang lantang berkata kononnya kita menegakkan negara Islam di kalangan pemimpin-pemimpin kita,mereka yang dengan lantang mengatakan kita ikut langkah Islam dalam negara ini, turut sama leka dalam jalan taghut.

Malah amat lagi menyedihkan bilamana maksiat itu dilihat sebagai perkara biasa yang normal untuk berlaku dimana-mana.


Saudara ku,

Syaitan akan mengindahkan pandangan manusia ini atas maksiat yang kita lakukan.

Perhubungan tanpa batasan atas nama cinta sejati antara dua insan dipandang indah oleh masyarakat, dipandang cantik oleh sahabat handai malah dipopularkan oleh ramai dalam kalangan kita dan bahkan ia dipandang mulia.

Namun, perhubungan untuk membina baitul muslim secara baik dan suci tanpa ikatan dan perhubungan yang keji dipandang kolot dan ketinggalan zaman bahkan tidak lagi sesuai dengan zaman ini.

Pemuda-pemuda dan para pejuang yang membawakan dakwah Islamiyah, yang ingin meletakkan kefahaman yang betul kepada ummat dipandang sebagai orang penyibuk bahkan mungkin sekali akan dilabel sebagai ‘terrorist’, pengganas, malah dilabel juga sebagai ‘extremist’. Wujudkah ekstremist dalam beragama? Andai mereka yang mahu menegakkan perintah Allah, mendukung kebenaran serta menjalankan perintah Allah itu digelar ekstrem, bukanlah patut kita gelarkan mereka yang sengaja mahu melanggar perintah Allah juga sebagai ekstrem? ‘Ekstrem’ dalam melakukan kemungkaran. Tidak layakkah begitu?

Para pendokong yang ingin membawa semula ummat Islam kepada Islam dipandang sebagai lebai-lebai yang kuno,kolot dan ketinggalan zaman. Bahkan senang sekali dikatakan:

“Aku enjoy,enjoy gak. Ibadat,ibadat jugak”.

Maka adakah kehidupan kita ini membezakan kehidupan ini dengan Islam?

Bukankah sebagai muslim, kehidupan kita adalah Islam dan Islam itu adalah kehidupan. Bahkan untuk berseronok sakan pun bukankah lebih cantik dan lebih indah sekali kalau ianya selari dengan jalan Islam.

Tiada pergaulan tanpa batas. Tiada kelucahan. Bahkan da`wah juga dapat disampaikan melalui hiburan. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Tidak semestinya lagu nasyid sahaja perlu ada unsur da`wah. Bukankah lebih cantik andai lagu rock juga ada unsur da`wah?

Tidakkah lebih jelik pabila ketika ada segolongan pihak yang ingin membuat tugas menyedarkan ummat tentang hakikat Islam ini dihalang dengan kuatnya. Tetapi mereka yang ingin melakukan konsert, pesta, keraian yang bukan-bukan dibenarkan dengan sesuka hatinya? Maka dimanakah kononnya Islam yang dilaung-laungkan itu?

Adakah Islam itu hanya tertegak dengan kata? Adakah Islam itu tertegak hanya dengan ceramah dan jualan air liur sahaja?

Saudaraku,

Islam itu adalah kehidupan kita. Saat kita mengucapkan shahadah, kita telah berikrar dan mengikat perjanjian untuk menerima Islam sepenuhnya.

Tiada istilah “part time Muslim”. Hari ini aku ikut jalan kafir, esok aku ikut jalan Islam. Tiada istilah pengasingan Islam dari kehidupan. Tidak ada pengasingan Islam itu dari pemerintahan. Kerana Islam ini sungguh lengkap dan syumul.

Segalanya dari aspek kehidupan seharian, pemerintahan malah kematian. Ketika kita bershahadah, kita telah berikrar pada aqidah kita dan juga kita juga berikrar bahawa kita sanggup mengikut Islam ini.

Adakah shahadah itu sekadar hanya kata-kata kosong??? Renung-renungkan bersama.

Sumber : www.cetusanminda.wordpress.com
Rujukan : www.halaqah-online.com

Marah Kerana Sayang

"Orang tua zaman mak ayah kita, `garang` itu satu formula. Entah kenapa dengan anak-anak zaman sekarang, formula itu tidak menjadi. Tidak boleh marah-marah. Kena berlembut mengambil hati mereka. Pening akak memikirkannya," begitulah lebih kurang perkongsian buah fikiran yang dilontarkan oleh Kak Ina pada petang itu.

Kami yang masih belum berumahtangga hanya mendengar. Tidak tahu bagaimana hendak memberikan pendapat.


Marah Kerana Sayang

Selepas beberapa ketika, saya teringatkan dialog di atas. Mencuba-cuba mencari sebab mengapa formula itu tidak menjadi zaman kini.

Jika dahulu, pasti ramai antara kita yang pernah mendengar cerita tentang ibu bapa yang garang. Disebalik cerita-cerita itu, ibu bapa yang garang inilah mendidik anak-anak dengan baik sekali. Garangnya mereka, solat anak-anak terjaga. Garangnya mereka, anak-anak mendengar kata dan tidak berani melawan. Jauh sekali bercakap kasar mahupun biadab dengan orang tua. Begitulah garangnya orang tua zaman dahulu kala. Garang mereka mendidik. Garang mereka kerana sayang.

Hal yang sama turut kedengaran di sekolah-sekolah semasa zaman mak ayah kita. Guru-guru pada ketika itu garang yang amat! Tetapi entah kenapa, anak murid masih hormat. Guru yang garang inilah yang akhirnya akan paling dikenang! Guru garang, mengajarnya berkualiti. Mungkin disebabkan anak murid jadi takut andai gagal. Anak murid menjadi serius di dalam kelas kerana garangnya guru mereka. Atau mungkin kerana guru itu memang seorang guru yang jelas tanggungjawabnya mendidik anak bangsa. Guru garang dihormati dan paling diingati. Itu zaman mak ayah kita.


Marah Cara Moden

Zaman kini, zaman kita. Sudah menjadi fenomena biasa. Anak-anak akan bertindak liar, andai dimarahi. Hati mereka jadi keras dan melawan. Pantang dimarah, pasti merajuk. Manjakah anak-anak zaman sekarang?

Jika di sekolah, fenomena yang sama. Guru-guru yang garang masih wujud. Tapi entah kenapa, garangnya tidak menjadi. Jangankan dihormati, silap haribulan, guru itu dimarahi kembali.

Maaf tiada fakta, (saya perlu buat kajian mendalam ni, wah..nak jadi pakar motivasi kah?). Semuanya hanyalah beberapa pemerhatian semasa saya memikirkan persoalan diatas.

Mengapa agaknya garang era kini tidak menjadi? Marah tidak melahirkan hormat dan takut?

Ada satu perkara yang saya fikirkan, hanya satu fikiran. Kerana apa kita marah? Jika zaman dahulu kala, nilai-nilai kekeluargaan dan betapa eratnya silaturahim itulah yang membuatkan seorang ibu dan bapa marah. Kerana sayang pada anak-anak. Kerana ingin mendidik anak-anak.

Namun zaman kini, mengapa agaknya kita marah pada anak-anak?

Tekanan kerja yang tidak henti. Kepenatan mencari rezeki. Kurang masa beriadah bersama famili. Semua ini menyumbang kepada punca marah. Hidup yang menekan. Hati jadi kurang sabar. Maka, tidak mustahil andai kita memarahi orang lain (atau anak-anak dalam konteks artikel ini) adalah disebabkan oleh tekanan hidup. Kita marah bukan sebab sayang atau mendidik!

Entahlah, saya belum mempunyai anak sendiri. Anak menakan adalah. Cumanya, perasaan ini dapat saya kenal pasti apabila wujud perasaan marah. Samada marah terhadap orang di sekeliling, atau marah pada diri sendiri. Perasaan tidak puas hati ini kebanyakkannya wujud disebabkan oleh tekanan hidup. Bukan marah kerana Allah.


Kurang Masa Bersama, Dimarahi Pula

Secara psikologinya (tanpa merujuk mana-mana pakar, hanya teori sendiri, haha), seorang anak itu boleh sahaja dimarahi, mengakui kesilapannya dan menerima, andai mereka jelas kenapa mereka di marahi. Namun, kebanyakkan anak-anak zaman kini, keliru barang kali, apakah salah mereka. Sudahlah kurang masa bersama ibu bapa, apabila berjumpa, anak-anak terasa ingin bermanja, namun disangkakan mengada-ngada dan dimarahi pula.

"Mama, ajar Ain main games ni,"

"Mama penatlah sayang, esok sahaja ok?"

"Ala mama, esok mama tak ada juga"

"Mama kata esok, esoklah!"

Itu mungkin bukan marah yang biasa. Tapi bagi yang mendengar, itulah satu bentuk marah yang dilontarkan.

Jika di sekolah, guru yang marah, kadangkala dilihat dua kali lima perangainya dengan anak-anak murid. Seorang yang bertindak garang, haruslah punya kredibiliti supaya mereka dipandang tinggi. Andai guru yang garang sekadar ingin menunjukkan lagak, masuk kelas pon tidak...sukar bagi anak-anak murid menerimanya.

"Suruh kami berdisiplin, cikgu sendiri dua kali lima."


Marah Kerana Allah

"Orang muslim yang kuat imannya tidak mencintai sesuatu kecuali kerana Allah. Dan tidak pula membenci sesuatu, kecuali benci kerana Allah. Oleh kerana itu ia akan mencintai atau membenci sesuatu kalau Allah dan Rasul-Nya mencintai atau membencinya".

Ayat di atas dipetik dari sebuah kitab ‘PEDOMAN HIDUP MUSLIM' bab 7 Adab Bersaudara kerana Allah cinta dan benci kerana Allah.

Selalu kita mendengar ayat-ayat suka dan cinta kerana Allah. Mari kita fahamkan dan hayati pula makna BENCI KERANA ALLAH.

Benci menimbulkan rasa tidak puas hati lalu menimbulkan marah. Namun, kenapa kita benci? Mengapa kita membenci itulah akan menjawab persoalan mengapa kita marah. Andai kita benci sesuatu kerana ianya perkara yang turut dibenci oleh Allah dan Rasulnya, alhamdulillah.

Namun, andai kita benci disebabkan emosi. Benci memarakkan marah disebabkan oleh tekanan hidup, maka sama-sama kita muhasabah balik iman kita. Mungkin marah yang tidak kerana Allah inilah membuatkan insan-insan yang dimarahi tidak dapat menerima. Hati mereka tidak menjadi hormat dan takut, bahkan menjadi keras seperti batu.

Niat marah itu akan menimbulkan kesan pada orang yang dimarahi.


Kepentingan Niat

Jika berbicara tentang niat, saya amat gemar kisah ini. Kisah Saidina Ali, sepupu Rasulullah.
Saidina Ali dalam posisi menghunus pedang, siap membunuh orang musyrik itu. Apa yang terjadi kemudian? Orang musyrik itu meludah ke arah Saidina Ali. Saidina Ali menghentikan rencanya untuk membunuh orang musyrik tersebut.

"Aku tidak mahu membunuhmu bukan kerana Allah" begitu mungkin pemikiran Saidina Ali.
Pedang yang sama, orang yang sama. Saidina Ali bisa saja meneruskan untuk membunuh musuhnya. Akan tetapi, Saidina Ali adalah orang yang mulia. Sehingga memelihara betul niat di balik tindakannya. Membunuh kerana Allah adalah sebuah bentuk penghambaan kepada-Nya. Membunuh kerana amarah antara manusia adalah bentuk penghambaan atas hawa nafsu.

Niat akan membezakan nilai dari sebuah tindakan. Seseorang boleh saja melakukan tindakan yang sama (marah), akan tetapi dengan niat yang berbeza, maka nilai tindakannya pun berbeza. Tindakannya sama, nilai tindakannya berbeza.

Semua orang boleh marah-marah. Marah memudaratkan atau marah mengelokkan.

Justeru, marah kerana sayang?



Saat penantian adalah pencarian diri.

Allah lebih tahu segalanya

Jumpa lagi insyaAllah.

PELUK Isteri BOLEH panjangkan UMUR

PETALING JAYA 16 Julai - Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun. Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan. `

`Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk
endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh. ``Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah,'' katanya ketika memberi syarahan bertajuk `Perkahwinan dan Seks: Penawar dan Rawatan Bagi Banyak Penyakit' di Persidangan Ketiga Perubatan Daripada Perspektif Islam anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya di Hotel Sheraton Subang di sini hari ini.

Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan
sunah Rasulullah s.a.w. Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. ``Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan memeluk isterinya lebih kerap,'' katanya disambut dengan gelak ketawa oleh peserta persidangan itu.

Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik. ``Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri,'' kata Fadzilah.


Untuk SUAMI


Pernikahan atau perkahwinan
menyingkap tabir rahsia
isteri yang kamu nikahi
tidaklah semulia khadijah
tidaklah setakwa aisyah
pun tidak setabah fatimah
justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman
yang punya cita-cita menjadi solehah

pernikahan atau perkahwinan
mengajar kita kewajipan bersama
isteri menjadi tanah, ka pernikahan atau perkahwinan
memu langit penaungnya
isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya
isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya
isteri adalah murid, kamu mursyidnya

isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya
saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya
seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya
seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya

pernikahan atau perkahwinan
menginsafkan kita perlunya iman dan takwa
untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T
kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana
justeru, kamu akan tersentak daripada alpa
kamu bukanlah Rasulullah S.A.W
pun bukanlah Saidina Ali
suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh
...amin...

Sumber: planner 2008 kharisma network sdn. bhd.

Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin

Minggu depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti.

Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar.

Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.


Kenduri Kahwin

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.

Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.

Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.


Kursus Kahwin

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.


Ijab Kabul

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:

“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).

Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.


Rumahtangga sepatutnya Syurga Dunia!

Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.

Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.

Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).

Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).

Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.


* Dr. Asri Zainal Abidin merupakan mufti negeri Perlis. Artikel ini dipetik dari blog beliau, http://drmaza.com.

Saatnya Untuk Berkahwin

Saatnya Untuk Menikah

"Apabila datang kepadamu seorang laki-laki datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaqnya maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerusakan yang merata di muka bumi." (HR Tarmidzi dan Ahmad)

Saya tidak tahu apakah ini merupakan HUKUM SEJARAH yang digariskan allah. Ketika orang mempersulit apa yang dimudahkan Allah, mereka akhirnya benar-benar mendapati keadaan yang sulit dan nyaris tak menemukan jalan keluarnya. Mereka menunda-nunda pernikahan tanpa ada ALASAN SYAR'IE dan akhirnya mereka benar-benar takut melangkah di saat hati sudah sangat menginginkannya. Atau ada yang sudah benar-benar gelisah tak kunjung ada yang mahu serius.
Kadangkala lingkaran ketakutan itu berlanjutan. Bila di usia dua puluh tahunan mereka menunda pernikahan karena takut dengan ekonominya yang belum mapan, di usia menjelang tiga puluh hingga tiga puluh lima berubah lagi masalahnya. Laki-laki mengalami SINDROM KEMAPANAN (meski wanita juga banyak yang demikian, terutama mendekati usia 30). Mereka (laki-laki) menginginkan pendamping dengan kriteria yang sulit dipenuhi. Seperti HUKUM KATEGORI, semakin banyak kriteria semakin sedikit yang masuk kategori. Begitu pula KRITERIA TENTANG JODOH, ketika menetapkan kriteria yang terlalu banyak maka akhirnya tidak ada yang sesuai dengan keinginan kita.

Sementara wanita yang sudah berusia sekitar 35 tahun, masalahnya bukan kriteria tetapi soal apakah ada orang yang mau menikah dengannya? Ketika usia sudah 40-an, ketakutan kaum laki-laki sudah berbeza lagi, kecuali bagi mereka yang tetap terjaga hatinya. Jika sebelumnya banyak kriteria yang dipasang pada usia 40-an muncul ketakutan apakah dapat mendampingi isteri dengan baik. Lebih-lebih lagi ketika usia beranjak 50 tahun, ada ketakutan lain yang mencekam. Iaitu KEKHAWATIRAN KETIDAKMAMPUAN MENCARI NAFKAH sementara anak masih kecil. Atau ketika masalah nafkah tak merisaukan KHAWATIR KEMATIAN lebih dahulu menjemput sementara anak-anak masih banyak perlu dinasihati. Apabila tidak ada iman maka muncul keputusasaan.

Jangan ditunda-tunda apa yang menghimpit saudara kita sehingga mereka sanggup menitiskan air mata. Awalnya adalah kerana mereka menunda apa yang harus disegerakan, mempersulit apa yang seharusnya dimudahkan. Padahal Rasulullah s.a.w. berpesan:

Wahai Ali, ada TIGA PERKARA JANGAN DITUNDA-TUNDA; apabila SOLAT telah tiba waktunya, jenazah apabila telah siap penguburannya, dan perempuan apabila telah datang laki-laki yang sepadan meminangnya." (HR Ahmad)

Hadis ini menujukkan agar tidak boleh mempersulit pernikahan baik langsung maupun tak langsung. Secara LANGSUNG adalah menuntut mahar yang terlalu tinggi. Atau yang sejenis dengan itu. Ada lagi yang TIDAK SECARA LANGSUNG. Mereka membuat kebiasaan yang mempersulit, meski nyata-nyata menuntut mahar yang tinggi atau resepsi yang mewah. Sebahagian orang mengadakan acara peminangan sebagai acara tersendiri yang tidak boleh kalah mewah dari resepsi pernikahan Sebahagian lainnya melazimkan acara penyerahan hadiah atau wang belanja untuk biaya pernikahan secara tersendiri. Bila seseorang tak kuat menahan beban, maka bisa saja melakukan penundaan pernikahan semata-mata HANYA kerana masalah ini.

Saya sangat khawatir akan KERUHNYA NIAT dan BERGESERNYA TUJUAN. Sehingga pernikahan itu kehilangan barokahnya. Naudzubillah! Penyebab lain adalah lemahnya keyakinan kita bahwa Allah pasti akan memberi rezeki atau boleh jadi cerminan dari sifat tidak qona'ah (mencukupkan diri dengan yang ada).

PILIHLAH YANG BERTAKWA. Suatu saat ada yang datang menemui Al Hasan (cucu Rasulullah). Ia ingin bertanya sebaiknya dengan siapa putrinya menikah? Maka Al Hasan r.a berkata:

"Kawinkanlah dia dengan orang yang bertakwa kepada Allah. Ini kerana, jika laki-laki mencintainya, ia memuliakannya, dan jika ia tidak menyenanginya, ia tidak akan berbuat zalim kepadanya."

Nasihat Al- Hasan menuntun kita untuk menjernihkan fikiran. Jika kita menikah dengan orang yang bertakwa, cinta yang semula tiada meski cuma benihnya, dapat bersemi indah karena komitmen yang memenuhi jiwa.

Wallahu alam bi showwab.

Sumber rujukan: Seminar Keluarga Sakinah, 16 Ogos 2002 (Keluarga Muslim)
Catitan: M. Fauzil Adhim